Banjir Besar di Johor
Assalammualaikum.
Sahabat-sahabat yang dimuliakan Allah,
Tulisan di bawah berkaitan banjir besar di Johor. Agak menarik. Apakah kita termasuk golongan yang berfikir Apakah dosa yang dibuat oleh rakyat Johor ataupun lebih kepada Apakah bentuk pertolongan yang boleh kita berikan?
“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara…” Al-Hujurat:10
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” At-Taubah:71
Johor dilanda banjir sekali lagi. Aduhai… Sedihnya hati. Entah apa nasib teman saya. Baru saja pulang ke rumah asal mereka. Aduhai… Kalaulah bencana sebegini menimpa diri sendiri, entah bagaimana reaksi nanti. Entah bagaimana rudumnya iman. Wana’uzubillah. Saya tanyakan juga khabar di rumah. Alhamdulillah. .. Memang rumah kami dimasuki air tetapi hanya lebih kurang 10 baldi sahaja.
Sesetengah teman saya mengaitkan bencana ini dengan ‘dosa warga Johor’. Sudah sering sangat saya disindir (secara bergurau). Malah ada juga ahli jemaah masjid di tempat saya yang berkata sebegitu. “Banyak sangat maksiat kat Johor ni” katanya ketika bercerita tentang banjir yang melanda sebelum ini. “Tengok artis kita. Pakai seksi. Jual suara, jual bentuk tubuh tapi
lepas tu cakap, saya bersyukur atas rezeki yang Allah beri…”
Lelaki itu mencebik bibirnya. Saya hanya tersenyum. Persoalannya, banyak sangatkah maksiat di negeri Johor sehinggakan dilanda banjir sehebat ini? 3 kali tenggelam dalam masa kurang sebulan. Apakah negeri-negeri lain tidak pernah melakukan dosa? Bagaimana dengan Kelantan dan Terengganu yang saban tahun dilanda banjir? Apakah tahun lepas kadar maksiat di negeri mereka
sudah turun kerana itu mereka tidak ditimpa banjir pada tahun ini?
Sebenarnya, untuk kedua-dua kenyataan yang dikeluarkan oleh lelaki tadi, telah saya balas. Pertama, saya katakan bahawa maksiat ada di mana-mana. Masalahnya, sama ada ada atau tidak orang yang hendak mencegah, menentang dan menghapuskan maksiat. Dan kedua, saya katakan kepadanya bahawa para artis itu menganggap bahawa rezeki mereka Allah yang beri. Maka kerana itu
mereka mensyukurinya.
“Memanglah!” tempiknya. “Orang kafir pun Allah yang beri rezeki” sambungnya lagi. Saya hanya mendiamkan diri sambil tersenyum. Rupanya jawapan saya membuatkan dia naik angin. Sedangkan pada asalnya, saya bukanlah tidak bersetuju dengan jawapannya. Bahkan sebenarnya saya juga merasa loya dengan sifat sesetengah artis kita yang mencari makan dengan maksiat tetapi sibuk
berlagak baik dengan menyebut-nyebut kesyukuran mereka.
Tetapi itu hal dunia artis. Bukan itu yang ingin saya nukilkan di sini. Apa yang menarik perhatian saya ialah, sikap kita (terutama diri saya sendiri) yang terlalu kerap mengaitkan apa-apa bencana dengan dosa penduduk di sekitarannya. Atau dalam bahasa mudah, kita selalu anggap bencana itu sebagai kafarah untuk mereka. Masih ingat tragedi di Acheh tidak berapa lama dahulu?
Ketika orang lain sedang sibuk membantu mangsa, sesetengah dari kita sedang sibuk mengkaji dosa mereka. Oh… Mereka buat ini. Sebab itulah jadi begini. Oh… Mereka buat itu. Sebab itu jadi begitu. Agaknya, jika si mangsa mendengar, semakin hancur luluhlah hati mereka. Sudahlah kehilangan harta benda dan segala, dituduh pula sebagai pembuat dosa. Beginikah cara saudara mereka membantu mereka…
Jika dilihat pada bangsa-bangsa yang terdahulu, kita dapat melihat betapa Allah pernah menghancurkan mereka dengan pelbagai cara. Dengan diterbalikan bumi, dengan dihempap dengan batu, dengan banjir besar dan berbagai cara yang lain. Kaum Luth dan kaum Nuh adalah cerita yang paling popular. Maka seiring itu, bencana hari ini juga dibayangkan dengan kejadian masa silam tersebut.
Tetapi seperkara yang selalu melintas di fikiran saya. Mengapakah kaum-kaum itu dimusnahkan? Kerana dosa merekakah? Tidak. Bukan kerana dosa mereka semata-mata. Tetapi kerana keengganan mereka untuk menerima teguran dan peringatan yang diturunkan oleh Tuhan kepada mereka melalui para anbiyaNya. Mereka dihukum akibat sifat degil mereka menolak utusan Allah.
Maka hari ini, jika kita mahu mengaitkan sesuatu bencana itu dengan maksiat yang dilakukan oleh penduduknya, mari kita tanyakan kepada diri kita semula. Apakah kita telah memberikan peringatan kepada mereka? Apakah sudah cukup peringatan yang kita berikan itu? Jika kita masih belum memberikan mereka peringatan, ataupun masih belum mencukupi, maka bolehkah kita mengaitkan bencana itu dengan dosa mereka?
Bermakna, bencana yang melanda ini bukan kafarah buat mereka sahaja. Tetapi juga termasuk kita. Kita yang mengabaikan sifat tabligh Nabi Muhammad saw. Yang bermaksud menyampaikan. Kita tidak sibuk menyampaikan agama dan peringatan Allah kepada mereka sebaliknya kita lebih sibuk dengan urusan memperbincangan perkara remeh dan furu’. Lebih suka berdebat atas sebab yang kecil dari bersatu untuk usaha yang lebih besar.
Jadi adalah tidak adil untuk kita menyalahkan mereka semata-mata. Seharusnya, jika mahu menuduh penduduk sesuatu tempat itu berdosa sehingga ditimpa bencana, silalah salahkan diri sendiri dahulu yang gagal menjalankan peranan sebagai muslim untuk menentang kebathilan dan menegakkan kebenaran. Salahkan diri sendiri dahulu kerana tidak mengikut sunnah Nabi saw yang menyampaikan keagungan Tuhan.
Uncategorized |One Response to “Banjir Besar di Johor”
Leave a Reply
Tak semestinya banjir yang turun hanya balasan dan peringatan kepada penduduk tempat tu sahaja.dan tak pula Trg dan Kltn x dilanda banjir, negeri mereka kurang maksiat.Allah turunkn banjir sbg peringatan utk kita semua. Dulu diutara, kini diselatan. Tapi kita blm ambil apa2 pengajaran. Jgn lihat di Johor atau Utara. lihat la kpd seluruh masyarakat Mlysia. Allah bila turunkan bala, orang beriman pun akan kena juga. Jadi mengatakan semua org Johor ahli maksiat n orang negeri yg x kena banjir bkn ahli amksiat adlh keterlaluan.Tg penting, seluruh umat Islam dMlysia ambil pengajaran. Tiap2 tahun Allah kasi bala kat kita. Alhamdulillah Allah msh sayang kat kita. Dia bg lg peringatan stiap tahun.Mcm mana kalo dia biar kita terus hanyut dgn nikmat dunia,bergelumang dlm maksiat???Dan jgn pula kita nadfikan banjir itu dtg dr Allah swt.Mesti ada hikmah utk sesuatu kejadian esp kalo kejadian tu bencana alam yg paling teruk dlm sejarah negara.
http://www.youtube.com/watch?v=UlZzduig6c8